13 Persediaan Untuk Ibu Bakal Bersalin Dan Menjalani Tempoh Berpantang Sendiri Di Rumah

Menjalani tempoh berpantang sendiri di rumah memerlukan si ibu yang bakal bersalin untuk buat sebanyak boleh persediaan supaya proses berpantang boleh berjalan dengan lancar. Samada berpantang di rumah emak ayah ataupun di rumah sendiri, berpantang sendiri-sendiri memang tak sama dengan berpantang sambil dijaga oleh orang tua yang dah berpengalaman ataupun ahli keluarga lain yang terdekat.

Saya sendiri pun pernah berpantang sendiri di rumah tanpa bantuan emak ayah lepas bersalin kali kedua. Masa tu saya tinggal di Jepun. Waktu kali pertama berpantang emak saya ada datang sebab anak saya meninggal dalam perut pada minggu ke 38 sebaik sebelum sempat bersalin. Risaukan emosi saya yang tunggang terbalik kehilangan anak sulung emak saya nekad datang juga untuk temankan saya.

Tapi masa bersalin anak kedua, emak saya tak dapat datang memandangkan ada kekangan sebab terikat dengan kerja. Lagipun saya pun dah selamat melahirkan dan kedua-dua saya dan baby takde apa-apa masalah, Alhamdulillah. Masa bersalin anak ketiga pulak saya dah balik ke Malaysia for good. Emak saya datang ke rumah masa saya dah sarat dan jaga saya sampai minggu kedua berpantang.

Memang berbeza kalau kita berpantang sendiri ditemani suami dan anak-anak saja berbanding dengan ada orang lain tolong jaga kita. Sebab tu bagi saya penting sangat bagi ibu yang bakal bersalin dan berpantang sendiri untuk buat sebanyak boleh persediaan sebelum melahirkan anak. Masa ni suami juga perlu mainkan peranan penting untuk lebih prihatin dan bantu isteri.

 

13 Persediaan Sebelum Bersalin Dan Berpantang Sendiri Di rumah
13 Tips Pantang Sendiri Di Rumah

 

Tips Persediaan Untuk Ibu Hamil Yang Merancang Untuk Berpantang Sendiri Di Rumah Selepas Bersalin

 

Masa saya berpantang sendiri dulu, nasib baik lah saya bersalin normal. Masa di Jepun tu ibu baru lepas bersalin wajib tinggal di hospital lebih kurang seminggu untuk pastikan ibu dan baby betul-betul sihat. So sempat lah saya kembali kuat sikit sebelum balik rumah. Lepas seminggu di hospital, suami ambil alih jaga saya di rumah. Dia ambil cuti beberapa hari walaupun tak lama tapi boleh lah bantu buat apa-apa patut.

Bila berpantang sendirian ni nak tak nak saya terpaksa juga masuk campur urusan rumah tangga. Dah lah masa tu saya bersalin ngam-ngam pada 30 Sya’ban. Esoknya tu 1 Ramadhan! Mana dengan suami nak kena bangun sahur dan berbuka lagi. Lainlah saya tak puasa. Jadi saya memang banyak beri arahan dan panduan kepada suami. Tak lah buat sendiri kerja rumah secara langsung melainkan terpaksa atau dah boring sangat.

Nasib baik jugalah masa tu baru sorang tu lah anak. Kalau ada anak-anak lain yang masih diusia kanak-kanak dan tengah lincah lagilah perlunya buat persediaan rapi supaya kebajikan semua ahli keluarga terpelihara. Gitu 😀 Ok jom tengok apa yang saya buat masa dah ambil keputusan akan berpantang sendiri lepas bersalin dulu:

 

1. To-Do-List – Jadikan habit dalam apa-apa perancangan sekali pun buat lah to-do-list ni. Senaraikan segala perkara yang terlintas difikiran apa saja yang kita rasa perlukan atau nak selesaikan. Bila buat macam ni kebarangkalian kita nak nak terlepas pandang perkara penting lebih rendah. Daripada senarai ni lah jugak lebih mudah kita nak buat perancangan kewangan, perancangan masa, susun jadual, tetapkan apa yang urgent dan important dan sebagainya.

 

2. Kemas Dan Susun Atur Rumah – Memandangkan saya bakal berpantang sendiri dan takde tenaga tambahan untuk bantu buatkan urusan rumah tangga terutamanya kerja berat, kami susun atur rumah ikut keselesaan saya menguruskan diri sendiri dan baby masa pantang. Memang lah suami ada tapi bukan setiap masa sebab dia kena kerja jugak. So kami rancang mana nak letak baby cot, mana saya nak tidur, bouncer pulak kat mana.

Tujuannya supaya saya senang nak capai dan tak perlu susah payah banyak kali bangun dan berjalan sana-sini. Faham-faham lah kan luka bersalin tu kena jaga dan perlu elakkan banyak bergerak. Selain tu kemas rumah sehabis boleh sebulan sebelum bersalin. Sebabnya nanti nak bawa baby baru masuk rumah. Baby ni imun sistemnya masih lemah.

Sepanjang tempoh ni pejam mata je lah dengan kerja-kerja rumah yang tak urgent tu. Habis pantang boleh sambung buat macam biasa. Jadi biarlah rumah kita betul-betul bersih, takde habuk, kemas tersusun so that environment dalam rumah betul-betul selamat untuk baby. Macam suami saya, dulu dia pakukan rak-rak yang tinggi terus ke dinding. Yelakan dekat Jepun dulu selalu gempa bumi. Takutlah almari atau rak tumbang ke, nauzubillah.

 

3. Stok Makanan Frozen – Kira-kira sebulan dua sebelum bersalin saya dah senaraikan apa makanan frozen yang boleh saya prepare untuk buat stok. Sebabnya saya tau suami bukan pandai masak. Lagipun dia kena pergi kerja. Dah lah bulan puasa. Mesti letih nak begitu begini dengan rumah tangga, dengan baby nya, dengan saya nya lagi.

So saya masak lauk kari ayam, lauk ikan bilis lada hitam kering campur halia sanggar atas kuali tanpa minyak, kuih-muih frozen, ayam dan ikan yang dah siap diperap dll. Saya masak banyak dan buat stok. Lauk frozen saya pack kan kecik-kecik. 1 pack untuk sekali waktu makan. Kalau korang dah ada anak-anak lain lagilah banyak stok makanan kena buat. Memang lah boleh je beli. Tapi larat ke nak beli selalu?

 

4. Stok Makanan Mentah Dan Segar – Sebelum bersalin, minta suami penuhkan peti ais dengan makanan segar yang mudah dimasak dan sesuai untuk ibu berpantang. Contohnya ayam dan ikan dah siap cuci dan diperap, sayur sawi, lobak putih, bayam dll. Orang berpantang ni tak boleh main air banyak sangat. Jadi saya lebihkan juga stok makanan yang tak perlu masak atau boleh makan segar.

Contohnya buah-buahan macam epal dan pisang. Sayur-sayuran macam salad dan tomato. Susu segar, yogurt, bijirin, seaweed, roti, jus buah dll. Kalau suami tak sempat sediakan makan, at least saya tak perlu berlapar dan boleh makan makanan tanpa perlu masak dulu. Nak-nak pula kalau suami yang kerja tight schedule dan rumah pulak jauh daripada kedai-kedai.

 

5. Senarai Resepi – Cari, pilih dan print senarai resepi yang mudah untuk jadi rujukan suami. Mana tau lauk frozen dah habis atau dah boring makan lauk sama, boleh lah suami masakkan. Lagipun sebenarnya orang berpantang lebih baik makan makanan yang baru dimasak, bukannya yang dipanaskan semula. Masa dalam pantang saya tak cerewet sangat nak makan yang best-best. Simple pun OK asalkan berkhasiat, cukup zat dan seimbang.

Lagipun badan baru nak pulih. Cara saya berpantang moden sikit. Saya makan semua jenis makanan tapi pada kadar yang  sederhana. Rasa sikit dulu. Kalau OK boleh makan lagi. Tapi sebolehnya saya elakkan makanan yang berperisa dan berpengawet serta makanan yang berangin, terlalu pedas, berminyak dan berlemak.

 

6. Belajar Memasak – Kalau suami memang pandai masak untung lah. Tapi bagi suami yang kurang mahir, paling-paling pun kena tau lah macam mana nak masak sup sayur, potong buah, goreng ikan dan bakar ayam. Nak isteri sihat kan? Kena lah berkorban untuk practise memasak. Kena rajinkan diri buat kerja-kerja mengemas dapur juga.

 

7. Jadual Rutin Kerja Rumah – Saya tulis siap-siap senarai rutin harian rumahtangga untuk suami rujuk. Bukan apa, just untuk pastikan takde kerja rumah yang terbengkalai atau terlepas pandang. Saya pun tolong jugak kalau tengok dia macam tak menang tangan. Macam lipat kain tu saya boleh buat sambil duduk jaga baby. Tak susah pun.

Kalau korang ada anak-anak lain terutamanya yang dah bersekolah nak-nak pulak anak ramai, hah lagilah kena buat jadual betul-betul. Nanti karang pagi nak pergi sekolah mana baju abang, mana stokin adik. Haruu nanti. Tapi ada kelebihannya juga kalau anak-anak dah besar dan faham bahasa. Diorang pun boleh take part buat kerja-kerja rumah. Ayah boleh bahagi-bahagikan tugas dengan anak-anak yang dah besar ni. Lagi senang!

 

8. Alatan Serta Kelengkapan Ibu Dan Bayi Yang Lengkap – Barangan kelengkapan yang lengkap bagi saya sangat memberi keselesaan kepada ibu dan baby masa dalam pantang. Contohnya masa kena bengkak susu, saya dah standby ice pack dalam freezer. Boleh terus guna untuk legakan sakit.

Baby pulak jenis yang rajin berak, sekejap-sekejap dah terbocor baju kena najis. Bila ada banyak baju, boleh terus tukar tak perlu risau baju tak cukup sebab belum basuh. Masa susukan baby saya guna nursing pillow dan bantal yang banyak untuk elakkan sakit bahu dan belakang. So memang saya rasa selesa sangat most of the time.

 

9. Be Positive! – Banyakkan membaca, bercakap, mendengar dan melihat perkara yang positif, baik-baik dan indah-indah untuk menenangkan minda, menggembirakan hati dan membina keberanian. Tambahkan ilmu tentang proses bersalin dan berpantang. Sebab lagi banyak ilmu kita ada, kita akan rasa lebih yakin dan bersedia.

Masa saya mengandung, saya sentiasa pasang hafazan Al-Quran untuk didengar terutamanya waktu saya tinggal sorang-sorang kat rumah. Saya tak rasa sunyi. Masa lepas bersalin lagilah saya memang tak tinggalkan rutin ni. Saya rasa sangat tenang dan selamat bila dengar bacaan Al-Quran yang dipasang sederhana kuat.

 

10. Kuatkan Mental Dan Emosi Dengan Amalan Rohani – Kedua-dua ibu dan ayah banyakkan amalan rohani dan selalulah berdoa semoga Allah mudahkan urusan bersalin dan berpantang. Lazimi amalan-amalan masa mengandung dan tal lupa juga solat Hajat, solat Taubat dan sebagainya.

Kalau ada kerisauan, luahkan kepada mereka yang rapat dan arif. Banyakkan bersembang dengan orang tua kita sebab diorang selalunya akan bagi banyak nasihat berguna. Bercakap-cakap juga dengan doktor dan midwife kalau ada concern. Diorang boleh bantu kuatkan semangat kita juga.

 

11. Emergency Plan – Kita merancang, berdoa dan bertawakal tapi kita tak dapat elak daripada ketentuan Yang Maha Esa andai ditakdirkan terjadinya sesuatu yang kita tak jangka. Memandangkan saya dan suami dah ada pengalaman sedih sebelum tu, kami dah bincang kalau berlaku sesuatu, siapa yang boleh dihubungi etc. Kalau boleh buat persediaan juga daripada segi kewangan dan inform individu tertentu sekiranya perlu supaya diorang tau apa perlu buat kalau kita dilanda musibah.

 

12. Ilmu Keibubapaan Dan Penjagaan Bayi – Setiap kehamilan tu adalah unik. Begitu juga setiap pengalaman bersalin. Malah setiap bayi tu juga tak sama antara satu sama lain. Kalau anak sebelum ni senang je nak jaga, baby yang baru lahir ni belum tentu lagi pe’el nya macam mana. Jadi ibu ayah walaupun dah ada pengalaman, jangan berhenti menggali ilmu keibubapaan dan refresh balik ilmu penjagaan bayi. Bila zaman berubah, daripada masa ke semasa mesti ada ilmu-ilmu baru yang kita perlu tahu. So banyakkan lah membaca dan belajar.

 

13. Set Bersalin Dan Ubatan – Masa bersalin saya amalkan set vitamin semulajadi lengkap untuk pemulihan dalaman dan untuk luaran saya guna set berpantang Tropikal Herbs daripada Amway dan minyak Herbaneka Nona Roguy. Walaupun berpantang sendiri tapi saya pakai tau pilis, param, peramping perut, cucian herba, mandian herba, berurut dan pakai bengkung. Haa jangan memain.

Takdelah banyak hari. Ada lah dalam seminggu aje. Memang best pakai benda-benda tu semua rasa badan lebih segar. Siapa lagi yang buatkan mestilah encik suami tercinta. Dalam tak tau dia belasah aje bancuh, sapu dan urut semua. Sedap jugakla dia picit sana-sini guna minyak panas. Kira OK lah kan daripada takde langsung. Ubat-ubatan pun saya dah standby siap-siap. Lagipun di tempat saya masa tu kadang-kadang sesetengah jenis ubat susah nak dapat.

 

Enjoy Your Confinement!

 

Buat persediaan awal memang sangat-sangat membantu saya enjoy my confinement period. Serious! Walaupun agak terkontang-kanting dengan perubahan rutin baru dengan baby yang menyusu setiap 2 jam dan nak dipegang saja tapi emosi dan kewarasan minda saya terkawal. Memang ada juga lah mood turun naik sikit especially bila tak cukup tidur tu. Tapi suami pandai mainkan peranan untuk seimbangkan keadaan.

Bila dah ada persediaan awal, kita lebih prepared dengan sebarang kemungkinan. Kalau apa-apa terjadi terutamanya yang unexpected, fikiran kita lebih fokus dan boleh buat tindakan yang tepat. Pokok pangkalnya apa-apa pun yang kita nak buat kena ada ilmu. Sebelum bersalin tu tanya-tanya lah orang tua, kawan-kawan yang berpengalaman, baca buku rujukan, kutip maklumat di gugel dan sebagainya.

Kalau di luar negara jauh daripada keluarga dan saudara-mara mungkin perlu buat persediaan yang banyak. Tapi kalau di Malaysia maybe tak perlu risau sangat sebab ada banyak kemudahan. Makanan Halal senang dapat. Mak bidan dan tukang urut pun ramai. Sekarang pun dah banyak perkhidmatan confinement care provider. Diorang boleh tolong jagakan ibu dan baby sekali. Sediakan je ongkosnya ikut pakej pilihan masing-masing.

Bila dapat berpantang dengan tenang lepas bersalin, ibu pun rasa lebih happy. Ini boleh bantu elakkan kejadian meroyan ataupun Postpartum Depression dan perkara tak diingini daripada berlaku. Kesihatan ibu pun boleh pulih dengan cepat dan baby pun boleh membesar dengan baik. Suami dan ahli keluarga yang rapat perlu pandai maikan peranan masing-masing dalam menjaga emosi ibu lepas bersalin. Sangat penting. Jangan ambil ringan!

Namun begitu jangan lupa disamping buat semua perkara di atas, banyakkanlah berdoa dan bertawakal dengan harapan segala apa yang dirancangkan berjalan lancar dan dipermudahkan Allah. Semoga tips yang saya kongsikan dapat membantu korang merancang tempoh berpantang lepas bersalin nanti. Dan kalau rasa artikel ni bermanfaat, kongsikan dengan ahli keluarga, saudara-mara atau besties korang yang bakal bersalin tak lama lagi 😉

This Post Has 4 Comments

  1. Salam perkenalan dari kak nur.
    Akak ada menyediakan urutan selepas bersalin normal/czer.
    boleh hubungi
    Nur 013-2096836
    Nur 013-2096836
    Nur 013-2096836
    (*perkhidmatan ke rumah pelanggan*)
    Area sentul,setapak dan seluruh kuala lumpur dan area gombak dan area selangor yang berdekatan kuala lumpur.

Leave a Reply to Hazrina Nasir Cancel reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu