10 Tips Mudah Persediaan Menghadapi Musim Hujan

Cuaca dekat luar sekarang mendung je daripada tadi macam nak hujan. Tapi hujan tak turun-turun juga. Matahari pun sama macam segan-segan je nak keluar. Selalunya bila hujung tahun macam ni memang sinonim sangat dengan musim banjir. Memang ada beberapa negeri yang sekarang ni dilanda banjir. Tapi syukurlah tak seteruk kejadian beberapa tahun lepas yang melanda negeri-negeri di pantai timur semenanjung.

Sebagai salah satu negara yang berada di garisan khatulistiwa, kita menghadapi cuaca lembab dan panas sepanjang tahun. Cuaca dan suhu macam ni, sangat digemari oleh kuman pembawa penyakit dan bakteria lebih mudah membiak. Paling common, jangkitan demam, batuk, selsema tu adalah perkara biasa terutamanya dikalangan kanak-kanak. Jadi sebagai langkah memelihara kesihatan, kita boleh ambil langkah pencegahan penyakit dan keselamatan. Untuk entry kali ni, saya kongsikan beberapa langkah yang boleh diambil semasa musim hujan.

 

10 Tips dan persediaan sebagai langkah untuk pelihara keselamatan dan kesihatan semasa musim hujan.
10 Tips untuk pelihara kesihatan dan keselamatan semasa musim hujan

Kredit: Google Image

 

10 Tips Menghadapi Musim Hujan

 

Sebelum musim hujan patutnya lagi elok kalau kita buat beberapa persediaan. Yelah kan mana la tau kot-kot kalau terjadi sebarang kemungkinan sekurang-kurangnya kita dah bersedia. Saya kongsikan tips menghadapi musim hujan ni untuk rujukan kita bersama. Antara langkah persediaan yang kita boleh ambil ialah:

 

1. Periksa atap rumah dan mana-mana bahagian rumah yang mudah dimasuki air. Perbaiki atau tutup supaya air tak masuk rumah dan tak berlaku lebih banyak kerosakan.

2. Sediakan kain lap kaki. Sebab nya kita selalu keluar masuk rumah. Lantai depan rumah yang basah tu cepat je kotor. Jadi sediakan kain lap kaki secukupnya supaya boleh tukar selalu.

3. Periksa dan bersihkan kawasan laman rumah daripada sampah sarap, longkang tersumbat, dan kalau ada bekas-bekas yang boleh menakung air tu telangkupkan. Sebabnya bila cuaca lembab ni kuman penyakit mudah merebak dan nyamuk Aedes mudah membiak.

4. Bagi yang tinggal di kawasan berisiko banjir, pastikan berdaftar dengan pusat pemindahan banjir. Bina tembok keliling rumah atau letak sand bag untuk kurangkan aliran air ke kawasan rumah. Alih perabot dan barangan rumah ke tempat tinggi dan selamat sekiranya perlu. Bersedia untuk berpindah kalau berlaku banjir.

5. Sediakan beg kecemasan yang mengandungi lilin, torchlight, bateri, first aid kit, sedikit makanan kering dan minuman, lampin dan lain-lain barangan asas serta dokumen penting yang disimpan dalam plastik. Penting buat ni mana lah tau berlaku kecemasan atau terpaksa tinggalkan rumah.

6. Sediakan stok makanan dan ubatan secukupnya di rumah. Masak makanan panas yang berzat dan seimbang serta boleh memanaskan badan. Elakkan minuman berais dimusim hujan.

7. Lakukan senaman dan aktiviti di dalam bangunan untuk kekal cergas walaupun musim hujan.

8. Pepatah juga ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan. So, jangan lupa beli payung ye kalau takde hehehe. Selain tu sediakan juga baju hujan terutama untuk penunggang motor, dan anak yang pergi sekolah naik basikal atau jalan kaki.

9. Elakkan bermain banjir dan jangan lupa pesan kat anak-anak! Bila banjir ni air bercampur dengan segala sampah-sarap, binatang berbahaya dan tak lupa juga termasuklah najis daripada lubang tandas. Ini ada pulak anak-anak main banjir siap terjun tiruk dan menyelam. Lagipun kalau hujan tengah lebat, ditakuti aliran air jadi sangat deras terutama di kawasan berdekatan sungai dan longkang besar. Sangat berisiko untuk dihanyutkan dan boleh membahayakan nyawa.

10. Amalkan pengambilan supplement ataupun makanan tambahan yang boleh menguatkan sistem imun. Paling kurang pun ambil Vitamin C yang boleh membantu badan melawan kuman penyakit, mempercepatkan kelegaan luka, menyeimbangkan emosi dan sebagainya. Minyak ikan pula boleh membantu memanaskan badan. Jadi taklah mudah terkena demam, batuk, atau selsema, insyaAllah.

 

Dan ohhh kalau nak bagi anak mandi hujan, kalau dah dia mintak sangat bagi jelahh. Tak larat nak dengar diorang merengek juga kan. Maklumlah bila hujan aktiviti terhad. Anak-anak memang cepat bosan. Main hujan pun seronok juga. Tapi pastikan bukan waktu kilat sabung-menyabung dan bukan waktu hujan baru turun. Tunggu lama sikit baru OK. Elakkan main hujan di kawasan lapang seperti padang yaa. Main hujan tak sama macam main air banjir tauu! Air hujan bersih hehe

Lepas main hujan cepat-cepat mandikan dan pakaikan baju. Elakkan berkipas dan bersejuk dengan baju yang lembap. Akhir sekali lepas bagi makan kenyang-kenyang, bagi vitamin dan boleh rehat. InsyaAllah anak-anak tetap sihat dan cergas je esok-esoknya. Boleh juga rujuk artikel ini dan ketahui petua dan tips berguna yang boleh diamalkan bila anak demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Semoga bermanfaat.

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu