12 Tips Kurangkan Sakit Dan Sembuhkan Luka Jahitan Bersalin Dengan Cepat

Orang perempuan ni, cuba kalau waktu tengah contraction tu tanya nak baby lagi ke? Mesti dia jawab taubat tak nak dah. Tapi kalau tanya masa tengah dukung baby lepas dah bersalin, mesti dia jawab nakkk! hihihi 😀 Cakap bab bersalin ni, memang yang paling ibu mengandung takut, sakit luka kena jahit lah. Kali ni, saya nak kongsi tips kurangkan rasa sakit dan sembuhkan luka jahitan bersalin dengan cepat. InsyaAllah boleh jadi rujukan untuk diri sendiri dan ibu-ibu lain di masa depan sebagai persediaan sebelum melalui proses melahirkan.

Luka bersalin yang biasa ibu mengandung hadapi masa proses bersalin ialah vaginal tear, perineal tear, episiotomy tear dan pembedahan Ceasarian (C section). Vaginal tear ialah koyakan pada bahagian vagina. Perineal tear pula koyakan pada bahagian kulit lembut di antara vagina dan anus. Manakala episiotomy pula adalah luka akibat digunting oleh doktor bagi melancarkan proses bersalin. Episiotomy tears terdiri daripada beberapa jenis bergantung kepada sebanyak mana bahagian yang telah digunting. Dan Ceaserean adalah luka di bahagian abdomen kerana melahirkan bayi secara pembedahan.

 

Tips untuk kurangkan rasa sakit dan galakkan luka jahitan bersalin segera sembuh
Boleh kongsikan tips penjagaan luka jahitan bersalin agar cepat sembuh ni dengan ahli keluarga, kawan-kawan dan pasangan tersayang.

Sumber imej: Birth Partner

 

Tips Kurangkan Sakit & Sembuhkan Luka Jahitan Bersalin Secepat Mungkin

 

Mana satu paling sakit antara kesemua luka atau koyakan di atas? Saya yakin semuanya pun sakit dan ada cabaran tersendiri dalam menanganinya. Melainkan kalau luka atau koyakan tu sangat minima dan memerlukan jahitan yang sikit saja, mungkin tak lah berapa lama dan tak lah berapa teruk ibu dalam pantang perlu menghadapi kesakitan. Tapi secara umumnya, untuk mengurangkan rasa sakit dan cepatkan penyembuhan luka jahitan lepas bersalin, ibu-ibu boleh lakukan tips-tips berikut:

 

1. Jaga Kebersihan Tempat Luka Jahitan

Bersihkan tempat luka jahitan dengan air mengalir supaya sentiasa bersih dan mengelakkan jangkitan kuman daripada berlaku. Terutamanya luka jahitan di bahagian vagina, selepas membuang air kecil dan air besar.

 

2. Sapu Ubat Atau Antiseptik Yang Dibekalkan Oleh Doktor

Dalam sehari, terutamanya selepas mandi ataupun selepas membuang air, bersihkan luka jahitan dengan ubat ataupun antiseptik yang doktor berikan. Ini bagi mematikan sebarang kuman yang mungkin masih tertinggal pada bahagian luka jahitan. Ubat dan antiseptik juga menggalakkan penyembuhan luka yang cepat.

 

3. Pastikan Luka Sentiasa Kering Dan Anginkan

Lap dan ataupun pedap-pedap bahagian luka jahitan dengan kain bersih sekiranya basah sebelum memakai baju atau seluar. Lagi bagus kalau waktu sedang berehat dalam bilik, anginkan bahagian luka sekerap mungkin supaya luka sentiasa kering tak berair dan tak berbau. Halakan kipas ke dalam kain atau dedahkan sebentar luka jahitan. Dan elakkan dulu daripada memakai bengkung dan herba peramping.

 

4. Makan Ubat Tahan Sakit

Sekiranya sakit sangat, makan lah ubat tahan sakit yang dibekalkan doktor. Jangan takut nak makan ubat. Selalunya doktor akan bagi ubat yang sesuai untuk ibu yang menyusukan bayi. Jangan seksa diri dan ego konon diri sangat kuat. Utamakan keselesaan fizikal dan emosi sendiri supaya bila hati ceria, barulah proses pemulihan badan boleh berlaku dengan lebih cepat dan lebih berupaya untuk jaga bayi dengan baik.

 

5. Guna Ice Pack Untuk Kurangkan Sakit

Ice pack bagus untuk kurangkan rasa sakit dan ketidakselesaan pada bahagian yang luka. Boleh beli ice pack di farmasi dan bekukan dalam fridge. Bila nak guna, balut dengan tuala nipis dan tuamkan atau letakkan perlahan-lahan pada bahagian luka jahitan. Ini boleh membantu menenangkan sel-sel yang luka, mengurangkan bengkak dan seterusnya mengurangkan rasa sakit.

 

6. Banyakkan Berehat

Ibu berpantang elakkan buat kerja-kerja berat semasa lepas bersalin. Ini bagi mengelakkan pergerakan berlebihan dan juga mengelakkan tekanan ataupun bebanan terpaksa ditampung oleh otot di bahagian badan yang luka. Lagipun badan kita dah bekerja keras semasa proses melahirkan. Beri masa kepada badan untuk bertenang, buat pemulihan dan dapatkan kembali tenaga. Penjagaan fizikal yang baik, sangat membantu menguatkan emosi dan mental di hari mendatang. Seterusnya membantu mencegah kemurungan, meroyan ataupun Post-Partum Depression daripada berlaku.

 

7. Selalu Bergerak

Bukanlah maksudnya perlu sentiasa bergerak. Tapi in between berehat tu, sesekali bangun dan jalan perlahan-lahan. Ini penting supaya peredaran darah dalam badan dapat berjalan lancar dan tak tersekat. Kalau dah rasa bertenaga, boleh mula buat senaman ringan contohnya hayun-hayunkan tangan, pusingkan pergelangan kaki atau apa-apa saja yang sesuai. Elakkan senaman yang melibatkan bahagian badan yang kena jahit.

 

8. Amal Pemakanan Yang Sihat Dan Seimbang

Ambil makanan yang segar, seimbang dan lengkap dengan semua kumpulan makanan. Contohnya ambil lebih protein seperti kekacang, daging, susu, yogurt, produk daripada kacang soya dll. Ambil juga makanan yang kaya Vitamin C seperti tomato, strawberry, brokoli, bayam dll. Manakala untuk sumber antioksidan Vitamin A pula boleh ambil sayuran berwarna hijau, oren dan kuning, bijirin diperkaya dll. Tak lupa juga makanan yang kaya dengan sumber zink seperti daging merah, makanan laut dll. Makanan kaya fiber juga penting untuk galakkan penghadaman dan pembuangan yang lancar.

 

9. Dapatkan Vitamin Dan Mineral Penting Untuk Galakkan Penyembuhan Kulit Yang Luka

Ambil makanan tambahan set berpantang supaya badan mendapat vitamin dan mineral yang mencukupi. Contohnya ialah protein yang menggalakkan penghasilan sel tisu baru yang lebih sihat dan memperbaiki sel tisu yang luka. Vitamin C pula membantu menguatkan imun, mengurangkan rasa gatal, kemerahan dan risiko parut yang teruk. Selain itu, antioksidan seperti Vitamin A pula bertindak melindungi sel luka yang masih lemah daripada radikal bebas. Manakala zink pula menggalakkan luka jahitan cepat kering dan lega.

 

10. Banyakkan Minum Air Kosong

Air kosong sangat bagus untuk bantu badan detoks ataupun buang toksin yang tak diperlukan daripada badan. Minum air yang mencukupi dapat bantu sel badan yang luka untuk pulih lebih cepat. Air yang mencukupi juga penting untuk badan hasilkan susu badan yang diperlukan bayi serta proses breastfeeding pula boleh bantu rahim menguncup secara normal ke saiz asal.

 

11. Elakkan Menyapu Ubatan Atau Menggunakan Produk Sebarangan

Di peringkat awal, elakkan menggunakan sebarangan ubat traditional di bahagian luka yang masih baru dan belum kering. Begitu juga dengan air basuhan herba daripada akar kayu, elakkan juga. Ini supaya kerengsaan dan jangkitan pada luka jahitan tidak berlaku.

 

12. Elakkan Stress

Sebolehnya elakkan rasa tertekan, sedih, marah dan sebagainya. Perasaan yang negatif boleh melambatkan penyembuhan luka dan pemulihan tenaga serta semangat. Sebaliknya perasaan positif pula menggalakkan penghasilan hormon gembira dalam badan dan luka boleh sembuh dengan cepat.

 

Okay lah cukup lah 12 tips yang saya kongsikan. Mungkin ramai je yang dah tahu tapi kadang-kadang terlupa atau sukar nak buat. Boleh simpan atau bookmarked artikel ni untuk rujukan masa depan atau kongsikan dengan kawan-kawan, ahli keluarga dan suami terutamanya! Kadang-kadang ibu berpantang ni bukannya tak tahu apa yang perlu dan patut dibuat tapi terpaksa pejam sebelah mata sebab kurang pemahaman atau kerjasama daripada pasangan atau ahli keluarga terdekat.

So para suami kalau terbaca ni, please take note ya dan mainkanlah peranan anda seoptimum mungkin dalam tempoh menjaga isteri yang sedang berpantang. Masa ni lah anda pula boleh tunjukkan pengorbanan dengan cara menghargai penat lelah isteri yang telah mengandung lebih 9 bulan dan menggadaikan nyawa untuk lahirkan anak tersayang. Dengan sokongan masa, tenaga, emosi dan material yang anda berikan, isteri akan lebih gembira sepanjang berpantang dan kesihatan jadi lebih baik. InsyaAllah.

This Post Has One Comment

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu