Barang Berguna Ibu Mesti Ada Untuk Pengalaman Mengandung Yang Selesa – Bahagian 1

Setelah 3 kali mengandung, saya perasan ada beberapa barang ataupun gadget yang sangat bermanfaat untuk ibu mengandung. Jadi kali ni saya nak kongsikan apakah barang-barang berguna yang ibu mengandung mesti ada untuk pastikan pengalaman sepanjang kehamilan berasa seronok, selesa dan berjalan lancar. So, para isteri yang merancang nak ada anak, bolehlah jadikan ini sebagai panduan dan persediaan sebelum hamil.

Waktu mengandung bagi saya memang menyeronokkan sebab masa ni lah kita boleh manjakan diri dan dimanjakan lebih daripada biasa. Walaupun terpaksa hadapi dugaan dan cabaran simptom kehamilan, macam mual, muntah-muntah, pening, sakit pinggang dan lain-lain tapi rasa teruja dengan perkembangan bayi dalam kandungan daripada 1 bulan ke 1 bulan tu mengatasi segalanya.

Jadi tak salah kalau kita laburkan sikit duit untuk keselesaan. Terutama para suami, boleh lah take note hihi. Walaupun keadaan dan situasi tak sama, tapi boleh lah cuba ikut. Secara umumnya saya yakin sekurang-kurangnya separuh daripada barang-barang yang saya senaraikan ni kebanyakan ibu mengandung pun pasti setuju ada antaranya yang wajib ada. Betul tak?

 

Barang-barang berguna ibu hamil mesti ada sepanjang tempoh kehamilan
Barang-barang berguna ibu hamil mesti ada sepanjang tempoh mengandung

 

Barang-Barang Berguna Ibu Mengandung Wajib Ada Mengikut Pengalaman Saya Bahagian 1

 

1. Al-Quran Dan Terjemahan

Ibu mengandung digalakkan untuk memperbanyakkan amalan rohani antaranya membaca Al-Quran. Ada surah-surah, zikir-zikir dan doa-doa tertentu yang bagus diamalkan. Ini bukan saja untuk kebaikan bayi dalam kandungan tapi lebih-lebih lagi kepada ibu mengandung sehinggalah saat sudah melahirkan.

Maklumlah masa ni hormon tak stabil, emosi dan fizikal juga mungkin lemah. Dengan menguatkan amalan rohani dan dekatkan diri dengan Allah, insyaAllah ibu boleh kuatkan mental dan emosi. Bila ibu tenang dan gembira, kesihatan lebih stabil dan seterusnya perkembangan bayi dalam kandungan pun terpelihara.

Sebenarnya bukan lah waktu mengandung saja kita baca Al-Quran dan terjemahan. Sebaiknya amalan ini diteruskan pada bila-bila masa. Tapi kalau dapat perbanyakkan lagi masa mengandung itu lebih baik. Mudah-mudahan syifa daripada ayat-ayat Al-Quran tu juga dapat membantu membentuk peribadi anak soleh atau solehah kepada bayi dalam kandungan.

Sekarang ni dah makin mudah. Semuanya di hujung jari. Nak baca Quran pun boleh guna handphone saja. Jadi tak ada alasan susah nak mendekatkan diri dengan Al-Quran. Tapi bagi saya, bila pegang naskhah Al-Quran yang sebenar feelnya lebih mendalam ke hati berbanding guna Quran apps di handphone. Jadi sebolehnya boleh simpan satu Quran kecil atau terjemahan Al-Quran dalam handbag.

 

2. Buku Nota

Daripada pregnancy pertama sampai lah yang ketiga, saya ada satu buku nota kecil yang saya bawak ke mana-mana. Dalam tu ada saya catatkan doa-doa dan zikir-zikir khusus yang bagus untuk diamalkan oleh ibu mengandung. Jadi memang mudah saya nak rujuk kalau terlupa dan nak baca pada bila-bila masa.

Selain tu saya suka catatkan apa-apa maklumat berguna daripada apa yang saya baca atau dengar. Contohnya berkaitan keibubapaan, perkembangan kanak-kanak, tips dan petua untuk ibu berpantang, senarai nama cadangan untuk bakal bayi dan banyak lagi. So tak lah hilang macam tu je atau tergagau-gagau mencari bila nak rujuk semula.

 

3. Buku Nama-Nama Bayi Pilihan

Haaa ini memang jadi bestfriend saya masa mengandung. Buku ni saya akan bawa ke hulu ke hilir. Waktu paling saya suka baca ialah sebelum tidur. Mesti ada pensel, kertas dan buku nota juga. Aktiviti mencari nama untuk bakal bayi ni bagi saya sangatlah therapeutic dan menyeronokkan. Memang boleh leka dan hilang stress dibuatnya hihi.

Saya suka cari nama awal-awal. Saya akan senaraikan nama-nama yang saya suka berserta kombinasi. Lepas tu baru berbincang dengan suami. Selalunya nama pilihan saya ialah yang betul maknanya dalam Bahasa Arab. Ejaannya pula tak berbelit dan mudah nak tulis. Saya suka nama yang sederhana dan tak pelik bunyinya.

Maklumlah nama tu doa. Walaupun saya letak nama anak-anak 3 patah setiap seorang. Dan saya akui nama anak-anak sederhana panjang. Tapi setiap satu mudah disebut dan dieja. InsyaAllah, kami pun rajin panggil anak-anak dengan nama penuh. Selain buku, sekarang ni pun dah banyak website untuk cari nama-nama bayi Muslim.

Pendapat saya, elakkan nama yang terlalu panjang dengan ejaan yang berbelit-belit. Bukan saja menyusahkan anak ambil masa lama nak tulis nama bila sekolah nanti tapi ditakuti juga maknanya jadi lain bila sebutan tak betul. Antara nama terbaik boleh diberikan kepada anak-anak ialah nama tokoh-tokoh Islam yang soleh dan solehah.

 

4. Gambar 3D Scan Bayi

Perasaan setiap kali nak buat scan tu Ya Allah excited sangat terutamanya bila pertama kali. Kita rasa lega bila mula nampak degupan jantung dia. Kalau waktu bayi dah besar sikit dan dah aktif bergerak, lagi seronok sebab dapat tengok pembesaran dia. Dan of course yang paling best masa nak tengok jantina hihi. Gambar-gambar ni saya akan ulang-ulang tengok dan bandingkan perkembangannya dengan buku rujukan.

Bukan apa, sambil-sambil tu kita bolehlah tambah ilmu dan kita lebih tahu cara untuk jaga diri kita dan kandungan dengan lebih baik. Anyway bagi saya apa-apa jantina bayi, saya terima saja seadanya. Yang penting kita doakan anak lahir sihat dan sempurna sifat serta kedua ibu dan anak selamat hingga akhir.

 

5. Sandal Atau Kasut Yang Selesa

Haaa ini wajib! Bila perut makin membesar, badan kita pun makin berat. Kita akan cepat penat dan lenguh bila berdiri lama atau banyak bergerak. That’s why penting untuk kita laburkan sikit duit untuk beli sandal atau kasut yang selesa. Cari jenis yang bertapak tebal dan lembut, ada padding seperti kusyen, melindungi kaki dan ada ruang untuk jari dan kaki bergerak. Tak semestinya kena beli yang mahal seperti Scholl. Bata je pun dah OK.

 

6. Bantal Hamil

Oh yes! Ini kena ada terutamanya waktu perut dah makin besar. Bila perut dah makin membulat, kita dah tak boleh nak tidur telentang apatah lagi meniarap. Jadi tidur mengiring adalah sangat selesa. Bantal hamil boleh support perut, paha dan tangan kita. Sekarang ni dah banyak dijual. Ada macam-macam jenis, rupa, kualiti dan harga. Cari je mana yang berkenan.

Kalau tak ada bantal hamil, boleh juga tidur dengan bantal yang banyak. Guna satu untuk support kepala, satu untuk support perut, satu untuk support peha dan kaki serta mana-mana bahagian yang dirasakan perlu sampailah mencapai tahap keselesaan yang diinginkan.

 

7. Doppler

Ini penting untuk saya! Saya ada sejarah kehamilan pertama anak meninggal dalam perut di usia 38 minggu. Dah tinggal tunggu masa je kan waktu tu. Jadi memang kehamilan anak-anak yang selepas tu saya akan jadi lebih alert, risau dan cepat cemas.

Oleh itu bagi mengurangkan perasaan-perasaan ni, saya sentiasa pantau denyutan jantung dan pergerakan bayi menggunakan Doppler ni beberapa kali sehari. Somehow soothing juga bila dengar degupan jantung anak sendiri. Boleh juga jadikan rutin untuk kemesraan suami isteri hihi. Boleh cuba okay? Oh, doppler saya warna pink tau. Cute!

 

8. Losyen Stretch Mark Di Perut

Bila perut semakin membesar, kulit perut kita akan meregang. Kulit akan terasa gatal, mudah kering, kemerahan dan garis-garis stretch mark akan mula kelihatan huhuhu. Terutama masa kali pertama mengandung memang teruk sikit sebab kulit terpaksa meregang buat kali pertama.

Tapi bila kita sapu losyen khas untuk perut, ketidakselesaan tadi kita boleh kawal atau elakkan terus. Favorite saya masa mengandung dulu ialah Palmer’s Cocoa Butter Formula yang khusus untuk stretch mark. Selain tu saya ada juga guna Bio-Oil.

Kalau nak krim serbaguna yang sesuai untuk pelbagai masalah ketidakselesaan kulit, boleh guna Herbal Blend. Krim ni bukan saja semulajadi bebas daripada bahan kimia bahaya tapi juga sangat selamat. Senang guna krim ni sebab all in one so tak perlu nak bawa banyak-banyak. Very handy boleh letak dalam handbag saja.

 

Alright, cukup lah saya kongsikan dulu 8 barang-barang berguna ni. Ada antara ibu yang bersetuju dan dah ada pun barang-barang di atas? Memang sangat membantu kan? Bagi ibu-ibu yang belum ada, boleh lah cari dulu barang-barang berkenaan. Tak semestinya perlu yang sama, tapi berbeza ikut citarasa, bajet, kesesuaian dan keselesaan masing-masing. Okay, jangan lupa baca sambungan artikel ini dalam artikel Barang Berguna Ibu Mesti Ada Untuk Pengalaman Mengandung Yang Selesa Bahagian 2.

This Post Has 2 Comments

  1. thankyou untuk tips.memang nak beli krim bio oil tu hihi yang palmers tu dah beli siap2

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu