Barang Berguna Ibu Mesti Ada Untuk Pengalaman Mengandung Yang Selesa – Bahagian 2

Dalam entry artikel yang lepas saya dah kongsikan 8 Barang Berguna Ibu Mesti Ada Untuk Pengalaman Mengandung Yang Selesa – Bahagian 1. Ada ibu-ibu yang bersetuju atau dah cari barang-barang berkenaan? Kalau belum, boleh lah cepat-cepat ajak suami shopping sama-sama. So, untuk bahagian 2 kali ni saya nak tambah lagi beberapa barangan yang saya rasakan penting dan sangat membantu memberi keselesaan kepada ibu sepanjang kehamilan.

 

Barang-Barang Berguna Ibu Hamil Wajib Ada Sepanjang Kehamilan Mengikut Pengalaman Saya – Bahagian 2

 

Ini barangan wajib ada masa saya mengandung. Anda macam mana?
Masa mengandung saya wajib simpan kudap-kudapan untuk hilangkan morning sickness. Favorite saya ialah jeruk halia sushi.

 

9. Kudap-Kudapan Untuk Hilangkan Rasa Loya Dan Mual

Kebanyakan orang suka makan asam seperti asam boi kan? Saya suka juga tapi dah bertahun-tahun tak sentuh asam boi ni. Sebolehnya saya elakkan asam yang dijeruk kering, berpengawet, berperwarna dan berperisa. Tapi sesetengah jenis asam saya makan juga bergantung kepada cara pemprosesannya samada bersih dan suci.

Kalau dulu saya suka makan sejenis buah plum Jepun yang dijeruk iaitu umeboshi. Rasanya masam-masam manis. Selain tu saya suka makan jeruk halia yang dipanggil gari. Gari ni biasa dihidangkan sekali semasa makan sushi. Bila makan gari ni, memang keluar semua angin-angin dan penghadaman pun jadi lancar.

Di waktu lain pula biasanya saya akan pastikan ada gula-gula berangin yang bagus untuk tekak dalam handbag. Boleh dihisap-hisap terutamanya masa dalam kereta ketika dalam perjalanan. Saya tak lah terlalu bergantung dengan makanan-makanan ini untuk hilangkan loya. Saya perasan kalau kita jaga makan dan makan on time, boleh kurangkan rasa tak selesa dan atasi ketidakhadaman tu.

Oh ya, Peppermint Ginger Plus sangat bagus tau untuk hilangkan mual, loya, angin, rasa nak muntah dan pening-pening. Boleh kunyah, hisap atau rendam dalam air panas dan minum macam teh herba. Boleh juga perah jus lemon kalau nak sedap lagi. Nak lagi best, hancurkan dan campurkan dalam salad. Memang sangat membantu melancarkan penghadaman dan pembuangan serta atasi gastrik.

Peppermint Ginger Plus ni semulajadi, takde bahan kimia bahaya. Kalau demam dan selsema pun bagus amalkan sebab boleh bantu kurangkan simptom ketidakselesaan serta kuatkan imun sistem. Lagi satu, Chewable Vitamin C pun sangat berkesan untuk kurangkan loya dan pahit tekak. Pengganti terbaik kepada asam boi. Malahan Vitamin C kaya khasiat dan baik untuk kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

 

10. Minyak Angin

Selalunya yang saya akan bawa ke mana-mana dulu ialah minyak angin Cap Kapak, minyak Yu Yee Cap Limau atau pun Vicks Vapor Rub. Agak-agak rasa sakit kepala, seram-sejuk, berangin, hidung tersumbat atau lain-lain, sapu je mana-mana yang berkenaan. Lagipun saya sangat tak suka dengan bau-bauan terutamanya minyak wangi masa mengandung. Jadi bau-bau minyak angin ni menyelamatkan hidung saya dan bantu elakkan punca rasa loya.

 

11. Pakaian Ibu Mengandung

Masa mengandung selalunya saya ni sluggish sikit terutama waktu awal-awal mengandung dan tengah alahan teruk. Waktu ni selalunya rasa nak tidur saja, rasa lesu, malas dan badan pun rasa serba tak kena. Jadi perkara yang paling diutamakan ialah keselesaan dan kebersihan. Saya prefer pakai baju yang loose dan menyejukkan. Tak cantik takpe janji bersih dan sedap dipakai. Maklumlah memang malas nak melawa-lawa sepanjang pregnant dulu hihi.

Bila perut dah makin besar, baju ibu mengandung yang labuh, seluar yang stretchable, pakaian dalam yang boleh support perut dan dada adalah sangat membantu saya rasa selesa untuk bergerak dan lebih yakin. Dulu saya suka beli di Nishimatsuya iaitu chain store yang secara khusus jual barangan bayi dan ibu mengandung. Kedai ni ada banyak cawangan di serata Jepun. Harga barangannya murah dan sangat berkualiti. Serious tahan lama!

 

12. Plastik

Ibu mengandung wajib simpan dan bawa at least 1 plastik kemana-mana. Sebabnya loya dan muntah-muntah ni tak boleh dijangka. Walaupun kita dah bersedia dan cuba elakkan daripada awal tapi kalau dia nak datang tiba-tiba memang susah nak halang! Paling bahaya kalau puncanya sebab banyak angin terkumpul dalam badan.

Saya pernah sekali waktu meet-up dengan kawan-kawan sekolah di KLCC. Tiba-tiba lepas makan-makan dan lepak-lepak saya rasa senoneng. Pregnancy sickness menyerang dengan mendadak! Kawan-kawan saya dah lah masih anak dara semuanya. Nasib baik lah ada sorang kawan tolong hantarkan saya balik.

Horror okay ditempat ramai orang tiba-tiba rasa isi perut berkumba-lumba nak membuak keluar. Nasib baik lah ada plastik penyelamat. Saya muntah like no one’s business mengadap dinding tepi tangga dan dalam kereta. Kesian kawan saya tu terpaksa menyaksikan situasi tu hihi!

 

13. Buku Rujukan Kehamilan

At least setahun sebelum mengandung dulu saya dah siap beli buku Mayo Clinic Guide To A Healthy Pregnancy. Jadi sebelum mengandung lagi saya dah tau apa persiapan daripada penjagaan kesihatan dan pemakanan yang saya perlu buat, risiko-risiko kehamilan dan cara mengatasi, perkembangan bayi setiap bulan, persiapan sebelum kelahiran bayi dan sebagainya.

In fact, saya banyak juga belajar dengan membaca pengalaman ibu-ibu lain, tengok YouTube, bertanya daripada doktor dan nurse dan sebagainya. Bila kita ada ilmu, kita rasa lebih bersedia dan yakin dengan sebarang kemungkinan. Secara tak langsung insyaAllah kita boleh jaga bayi dan diri sendiri dengan lebih baik dengan perasaan lebih tenang.

 

14. Vitamin Kehamilan Untuk Sumber Kalsium, Asid Folik, Zat Besi Dan Lain-Lain

Tau tak sebenarnya ibu yang merancang nak mengandung, sebaiknya perlu amalkan ambil vitamin Asid Folik sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum mengandung? Ini bagi mengelakkan risiko bayi mengalami neural tube defects iaitu kecacatan saraf tunjang.

Manakala sepanjang tempoh kehamilan pula, sebahagian nutrien diperlukan oleh badan pada kuantiti yang lebih daripada biasa demi menampung permintaan daripada sistem badan bayi yang sedang berkembang dan juga permintaan daripada sistem badan ibu itu sendiri yang sedang bekerja keras menyokong proses kehamilan.

Waktu tak mengandung pun kadang-kadang ibu tak makan buah dan sayur secukupnya dalam sehari. Apatah lagi ketika waktu mengandung kena pula alahan yang teruk dan tak lalu makan. Jadi disamping ibu mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, vitamin-vitamin kehamilan ini juga membantu mengisi kelompongan mana-mana nutrisi yang masih tidak mencukupi dan belum seimbang.

Pernah dengar tak ada ibu yang sakit gigi atau gigi longgar masa mengandung? Ini akibat tak cukup kalsium tau. Ada bermacam lagi masalah boleh timbul semasa mengandung atau selepas bersalin, kalau badan kita ketandusan nutrisi penting. Jadi, bila sistem badan dapat zat yang mencukupi, sistem imun jadi lebih kuat, ibu lebih bertenaga, semangat dan ceria, kehamilan juga berjalan lebih lancar dan bayi berkembang dengan baik.

 

15. Buku Rekod Kehamilan

Rasanya kebanyakan ibu pun dah tau betapa pentingnya ada buku rekod kehamilan ni. Sebaiknya bila rasa diri mengandung, cepat-cepat lah dapatkan pengesahan daripada doktor dan buka buku rekod kehamilan (dipanggil juga buku pink) di mana-mana klinik kesihatan kerajaan. Seawal trimester pertama lagi dah boleh dapatkan buku ni.

Buku ni kena bawa ke mana-mana saja kita pergi supaya kalau ada apa-apa kecemasan, mudah untuk kita dan bayi diberi rawatan yang sepatutnya. Terutamanya ibu yang ada masalah kesihatan, termasuk dalam kategori kehamilan berisiko ataupun memang merancang nak bersalin di hospital kerajaan, elok lah buat buku pink ni awal-awal.

 

16. Kalendar Kehamilan

Kalau dulu saya saya suka guna Lilypie ticker dan letak di blog. Tiap-tiap hari tengok perjalanan kehamilan dan baca perkembangan bayi dalam kandungan. Memang seronok hihi. Tapi sekarang ni dah lagi senang. Boleh install saja apa-apa pregnancy apps dan tengok di handphone bila-bila masa. Boleh juga set reminder, catat nota penting atau tulis diari dan sebagainya.

 

Hah cukup lah 16 barangan berguna yang dah disenaraikan. Tapi mungkin ada antara barangan di atas yang ibu lain rasakan tak perlu, sebaliknya perlukan barang lain yang tidak tersenarai. Ini kerasa setiap kehamilan adalah berbeza-beza, citarasa, bajet dan masalah kita juga tak sama. Jadi, pandai-pandailah sesuaikan ikut keadaan dan situasi diri masing-masing. Bagi ibu yang pertama kali nak hamil atau sedang hamil maybe tak tau apa nak expect, so boleh lah jadikan artikel ini sebagai rujukan.

Okay, selamat menempuhi tempoh kehamilan yang ceria dan lancar! Semoga kedua ibu dan bayi sihat serta selamat hinggalah ke akhir.

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu